Khamis, 20 Januari 2011

:.AURAT WANITA MUSLIMAH.:


AURAT (Arab: عورة‎) merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah WAJIB ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Perlu dijelaskan di sini, aurat ialah bahagian yang perlu ditutup atau dijaga daripada dilihat atau dicemari oleh orang lain. Berdasarkan definisi itu, aurat ialah bahagian yang berharga bagi seseorang, maka ia perlu dijaga dengan sebaiknya walaupun sekadar dipandang dari jarak jauh.

Pernah kita dengar ungkapan bahawa suatu yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan di tempat yang tersorok dan selamat. Barang kemas seperti emas dan permata tentu tidak akan dibiarkan bersepah-sepah di atas lantai sebaliknya ditempatkan di tempat yang khas.

Bagi seorang lelaki yang bergelar suami, barangan yang paling mahal dan berharga ialah isterinya. Selain isterinya mahal kerana membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkannya, isteri juga adalah penyelamat iman dan maruahnya. Maka dengan ini isteri perlu dijaga dengan rapi supaya dia tidak mudah keluar bebas hingga dapat dilihat oleh orang lain dengan begitu sahaja.

Wanita atau isteri pada zaman dahulu jarang keluar rumah, apatah lagi untuk bersiar-siar di kota. Namun begitu, suasana zaman itu sudah berlalu kini. Sebaliknya jika wanita dan isteri asyik terperap di rumah sahaja, mereka akan dikatakan bahawa mereka tidak mengikut peredaran zaman.

Sebenarnya Islam TIDAK MELARANG wanita atau isteri daripada keluar rumah jika terdapat keperluan yang mendesak ke arah itu. Mereka boleh keluar rumah dengan syarat menutup aurat dan jaga keterampilan agar tidak terdedah kepada fitnah. Oleh sebab itu, marilah kita hayati kembali di manakah sebenarnya aurat seorang wanita agar kita sentiasa berada dalam landasan yang benar.

Bagi wanita dihadkan kadar aurat yang wajib ditutup pada tempat-tempat tertentu. Berikut disenaraikan kadar aurat seperti yang tetapkan oleh Islam.

* SEWAKTU SEORANG DIRI – auratnya ialah bahagian dari pusat hingga ke lutut.

* SEWAKTU BERSAMA AJNABI – auratnya ialah seluruh tubuhnya.

* SEWAKTU MENGHADAP ALLAH (SOLAT) – auratnya ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan.

* SEWAKTU BERHADAPAN DENGAN WANITA BUKAN ISLAM ATAU WAKTU BEKERJA – auratnya seluruh tubuh kecuali bahagian yang diperlukan dalam suasana kerja.

* SEWAKTU BERSAMA PEREMPUAN ATAU MAHRAM – auratnya ialah bahagian antara pusat dengan lutut.


Menyentuh soal aurat yang di antara pusat dengan lutut, suka dijelaskan di sini bahawa bahagian tersebut perlu diambil kira ketika duduk dan berjalan. Maknanya kalau seseorang wanita itu sekadar pakai tuala mandi dari bahagian pusat sampai lutut sahaja, memang dibenarkan kerana itu had auratnya. Tetapi bagaimana kalau dia berjalan atau duduk di atas kerusi, sudah tentu lutut atau sebahagian pahanya dapat dilihat oleh orang lain. Dengan demikian haruslah diambil perhatian bahawa perkara inilah yang sering perempuan masa kini alpa mengenai aurat mereka.

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.’’ [HR Abu Dawud]

Tetapi lazimnya wanita Melayu suka pakai tuala mandi dari paras dada hingga ke bahagian paha. Kalau dia ketika itu memakainya di hadapan suami, tidak salah kerana tiada had aurat ketika bersama suami. Tetapi bagaimana kalau dalam rumah itu ada anak, bukankah auratnya ialah di antara pusat dengan lutut. Jadi, elakkan berpakaian seperti itu di hadapan anak-anak apatah lagi di hadapan tetamu.

Bayangkan kalau di dalam rumah sendiri, tidak boleh pakaian seperti itu, bagaimana sikap sebahagian wanita yang suka pakai skirt yang pastinya di atas lutut, dan ada juga yang pakai seluar pendek. Jelas pakaian itu tidak menutup aurat seperti yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Selain itu, tudung yang dipakai oleh wanita pada hari, sebahagiannya sudah lebih GLAMOR daripada mentaati perintah Allah. Lihat sahaja, tudungnya tidak menutup bahagian dada dan lehernya. Malah sesetengahnya pakai tudung tetapi tangannya tidak ditutup. Perlu diingatkan kembali bahawa aurat seorang wanita bukan hanya rambutnya sahaja tetapi seluruh tubuh badan yang dijelaskan seperti di atas.

Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah,
Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33):59].

Walau bagaimanapun usaha mereka hendak pakai tudung itu, amat dihargai. Semoga Allah menilainya mengikut kadar usahanya. Namun pada masa yang sama, wanita tersebut perlu berusaha untuk menutup aurat sepenuhnya.



2 ulasan: