Ahad, 23 Januari 2011

O.:ajArAn seSat.:O


Islam adalah satu-satunya agama yang lengkap lagi komprehensif (syumul) kerana ia diasaskan atas tiga komponen utama iaitu AKIDAH, SYARIAT DAN AKHLAK. Ketiga-tiga komponen ini menjadi tonggak utama kepada kekuatan, kesempurnaan dan keindahan Islam.

Rahsia kejituan Islam adalah berdasarkan kepada dua sumber utama iaitu AL-QUR‘AN DAN AS-SUNNAH. Maka keselamatan umat Islam di dunia dan di akhirat adalah ditentukan kepada ukuran sejauh mana seseorang itu berpegang teguh kepada kandungan Al-Qur‘an dan As-Sunnah.

Hal ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik Radiallahu ‘anhu yang bermaksud

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, selama kamu masih berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah (Al-Qur‘an) dan sunnah RasulNya”

(Hadis riwayat Malik)

Sejak kebelakangan ini masyarakat Islam telah dilanda oleh pelbagai kecelaruan dalam memahami tentang akidah Islam yang sebenar. Kita merasa amat dukacita dalam suasana keghairahan umat Islam hendak mendekati dan menghayati ajaran Islam ini, ada di kalangan umat Islam yang masih teraba-raba mencari kebenaran tersebut. Natijahnya menyebabkan sebahagian umat Islam terjebak ke dalam fahaman dan ajaran sesat yang ditaja oleh golongan-golongan tertentu yang mempunyai kepentingan hawa nafsu dan kebendaan.

Di negara kita, berdasarkan kajian dan penyelidikan serta penyiasatan pihak-pihak berkenaan terdapat beberapa kumpulan ajaran sesat yang pernah aktif dan mengancam akidah umat Islam, kebanyakan dari mereka terlibat dengan amalan-amalan yang meragukan dan bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar. Walau bagaimanapun dengan usaha pemantauan yang gigih dari pihak berwajib, kumpulan-kumpulan tersebut telah dapat ditumpaskan dari terus berkembang.


ajaran sesat

Sebelum kita kupas isu ini dengan lebih mendalam lagi, marilah sama-sama kita selidiki apakah sebenarnya ajaran sesat ini?

PENGERTIAN AJARAN SESAT

  • Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

KENAPA MUNCULNYA AJARAN SESAT??

  • Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.
  • Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT ADALAH:

  • Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansuh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansuhkan semua kitab samawi.
  • Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.
  • Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.
  • Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.
  • Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.
  • Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.
  • Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.
  • Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.
  • Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.

APAKAH KESAN BURUK AKIBAT MENGAMALKAN AJARAN SESAT??

1. KESAN TERHADAP INDIVIDU:

(a) akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam

rosaknya akidah individu

(b) masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat

(c) minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik

(d) kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.

2. KESAN TERHADAP MASYARAKAT:

(a) keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka;

(b) perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;

(c) berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. KESAN TERHADAP NEGARA:

(a) negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu;

(b) negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan